Sabtu, 15 Jun 2013

NYAMOT

PROLOG
Tingkah laku, sifat, perbuatan, pemikiran, dan perangai manusia memang tidak statik dan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan persekitaran. Kadang-kadang menjadi begitu, kadang-kadang menjadi begini. Entah apa yang mereka fikirkan, tiada imej diri yang sempurna. Tetapi, itu sahaja yang aku dapat lihat setakat ini di atas muka bumi ciptaan tuhan ini. Kadang-kadang aku benci dan menyampah dengan manusia. Tetapi apakah dayaku, aku hanya makhluk ciptaan tuhan yang lemah dan serba kekurangan yang membataskanku untuk memberi teguran kepada manusia.

ZewuuUuuurrrRRrr....!!

Namun, aku bersyukur kerana tuhan menciptakan aku begini. Walaupun aku dicipta tidak seistimewa manusia dan makhluk lain di atas muka bumi ini. Namun, aku bangga menjadi begini sebagai pelengkap kepada kehidupan manusia. Aku bebas terbang kemana sahaja yang aku mahu sambil menikmati keindahan bumi ciptaan tuhan.

Walaupun aku sentiasa dihina dan dicerca oleh makhluk yang digelar manusia kerana sering mengganggu mereka. Tetapi manusia tidak tahu bahawa makhluk sepertiku hidup bertujuan untuk memudahkan urusan mereka. Kehidupan kami sama sahaja seperti kehidupan manusia umumnya. Kami turut mempunyai kerajaan sendiri dan dicipta berpasangan iaitu jantan dan betina. Manusia sebenarnya tidak mengetahui tugas rahsia yang kami jalankan selama ini.
Anda mesti tertanya-tanya siapa sebenarnya aku. Biarlah itu menjadi tanda tanya buat masa sekaran.

Seminggu yang lepas....

Sedang aku asyik menghayati lagu yang berkumandang melalui alat muzikku yang manusia menggelarnya sebagai MP4.

“Ayiz....oh Ayiz....” tiba-tiba aku terdengar suara yang memanggilku. Rupa-rupanya Zulfan memanggilku..

“Yup......” Aku membalas ringkas panggilan Zulfan.

“Ayiz, Tuan Khairul mahu berjumpa dengan engkau dibiliknya sekarang.” Dengan nada yang tergesa-gesa, Zulfan memberitahuku tujuannya mencariku.

“Ok...” jawabku ringkas.

Bukannya aku tidak tahu, jika Tuan Khairul yang panggil sudah tentu ada tugasan untuk aku laksanakan. Kadang-kadang aku sentiasa lari dari tugasan yang diberikan kepadaku. Bukannya aku malas tetapi aku rimas dengan tugasan yang perlu aku lakukan kerana ia melibatkan makhluk yang digelar manusia. Aku merupakan makhluk yang sangat benci dengan manusia.
Bukan aku nakkan kerja macam ini, tetapi aku sudah diciptakan begini. Aku bencikannya sebab aku bencikan manusia. Mereka makhluk yang istimewa, ada kehidupan yang baik tetapi langsung tidak menghargai apa yang mereka miliki. Mereka hanya tahu merungut dan bermasam muka jika sesuatu yang mereka hajati tidak dapat dikecapi, tetapi langsung tidak mahu berusaha untuk mengecapinya. Hanya tahu mengharap tuah jatuh telepuk di depan mata.

“Ayiz cepatlah, apa yang kau fikirkan lagi tu. Tuan Khairul sudah lama menunggu kau di biliknya.” Pinta Zulfan kepadaku selepas dia melihat aku masih belum berganjak dari meja kerjaku.

“Ya sebentar, aku mahu pergi la ni.” Aku segera menjawab permintaan Zulfan untuk memastikan dia tidak mengganggu aku lagi.

Aku segera bangun dari kerusiku dengan perasaan yang sangat malas. Aku sebenarnya malas untuk pergi berjumpa dengan Tuan Khairul. Tetapi melihat Zulfan yang sentiasa memerhati dan mengawasiku, aku gagahkan diri jugak untuk pergi berjumpa dengan Tuan Khairul.
Bilik Tuan Khairul berada jauh ditingkat 8 bawah tanah dengan pintu kayu diukir indah dengan tulisan arab tersergam dihadapannya. Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu, aku terus masuk kedalam biliknya. Kelihatan dia sedang duduk di meja kerjanya sambil kertas-kertas dan fail-fail memenuhi ruang di atas mejanya.

“Adakah bilik saya ini tidak mempunyai pintu Ayiz?” tanyanya lantang sambil matanya memandangku tajam. Cara percakapannya yang bagaikan orang arab itu membuatkan aku hampir ketawa. Sebenarnya aku masih tidak memahami apa maksudnya.

“Saya ada tugasan baru untuk kamu Ayiz. “ disebalik timbunan fail-fail diatas meja, Tuan Khairul mencapai satu fail dan memberi kepadaku untuk aku rujuk.

“Tapi tuan....”

“Tiada tapi-tapi, saya tahu kamu pekerja yang cemerlang dan berkarisma. Tugasan ini sesuai untuk kamu laksanakan.” Belum sempat aku berkata apa-apa, Tuan Khairul terus memotong kata-kata aku.

Untuk mengekalkan reputasi aku sebagai seorang pekerja cemerlang, aku terpaksa juga menerima tugasan baru itu.

“Saya mahu kamu tumpukan sepenuhnya kepada tugasan itu. Tugasan kamu sebelum ini yang belum kamu selesaikan akan saya beri kepada pekerja lain untuk diselesaikan.” Pinta Tuan Khairul kepadaku.

Aku hanya mampu menganguk sahaja. Aku tidak tahu apa pentingnya sangat tugasan baru aku itu. Tanpa membuang masa aku terus menyelak satu persatu halaman di dalam fail tersebut. Selepas habis meneliti setiap halaman di dalam fail tersebut, akhirnya aku memahami tugasan baru yang ditugaskan kepadaku. Tugasan ini sangat istimewa kepadaku kerana ia melibatkan hubungan manusia dan yang paling istimewa aku ditugaskan untuk menyerupai manusia. Akhirnya, cita-cita aku untuk menjadi manusia tercapai. Alangkah gembiranya aku, aku diibaratkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Sebenarnya aku ingin menjadi manusia kerana aku ingin tahu apa sebenarnya yang menarik di dunia manusia dan aku ingin mengetahui apa sebenarnya yang difikirkan oleh manusia sehingga tidak mengendahkan makhluk lain diatas muka bumi ini terutama makhluk sepertiku.

“Tuan, saya terima tugasan ini.” Tanpa membuang masa aku menyatakan persetujuanku kepada Tuan Khirul untuk menerima tugasan tersebut.

“Ya, saya sudah tahu kamu pasti akan menerimanya dan yakin kamu pasti dapat menyelesaikannya.” Dengan senyuman Tuan Khairul membalas persetujuanku.

Tetapi tugasan ini sangat mencabar kepadaku kerana inilah kali pertama aku diberi kepercayaan penuh untuk menyatukan hubungan manusia yang saling bermusuhan. Itulah sikap manusia yang paling aku benci, dikurniakan akal fikiran tidak mahu menggunakannya. Patutkah manusia saling bermusuhan sesama sendiri, aku tidak mengerti apa sebenarnya yang manusia fikirkan.

Sudah pasti anda semua berasa pelik dantertanya-tanya siapa sebenarnya aku kan.
Aku sebenarnya NYAMOT.

Manusia sebenarnya sudah pasti mengetahui siapa aku sebenarnya. Aku adalah nyamuk yang sentiasa mengganggu hidup manusia dengan menghisap darah manusia. Nyawaku diibaratkan seperti dihujung tanduk sahaja. Jika tersalah langkah pasti aku akan mati ditangan manusia. Bukan salah makhluk sepertiku menghisap darah manusia tetapi kami sudah tercipta begini yang menjadikan darah manusia sebagai makanan ruji kami. Manusia tidak sedar mereka merupakan pembunuh pada setiap hari. Makhluk sepertiku diancam kepupusan disebabkan manusia. Namun, tuhan maha bijaksana dan maha adil yang menciptakan kami sebagai makhluk yang mudah untuk membiak untuk meneruskan tugas kami di atas muka bumi ini.

Makhluk sepertiku sangat suka terbang kemana sahaja. Kami ini merupakan pejuang berani mati. Kalau di dunia manusia sukan F1 menjadi popular, kamilah yang merupakan pengasas sukan F1. Kami sentiasa berlumba terutamanya pada setiap malam. Kami menjadikan kawasan sekeliling manusia sebagai litar lumba kami.

Kalau menghidap penyakit, kami sering dipersalahkan. Namun, manusia tidak sedar bahawa mereka sebenarnya yang menjadi penyebab penyakit. Kami hanya menyebarkan sahaja. Kalau manusia tidak menjadi punca penyakit, maka kami semestinya tidak menyebarkan penyakit melalui darah yang kami sedut dari badan manusia.

Disebalik semua itu, sebenarnya manusia tidak tahu tugas sebenar kami sebagai pelengkap dan penghubung hubungan manusia. Kami mempunyai kerajaan kami sendiri dan ditugaskan khas didalam dunia manusia secara rahsia.

Ya!!! Anda sudah tahu siapa sebenarnya aku. Aku adalah makhluk yang diberi gelaran NYAMOT yang ditugaskan secara rahsia didalam dunia manusia. Aku akan sentiasa ada tugasan untuk diselesaikan di dunia manusia kerana manusia sentiasa bermusuhan dan memerlukan pertolongan makhluk sepertiku untuk menyelesaikannya.

0 ulasan: